Isu dan Kontroversi Lembaga_Kemajuan_Tanah_Persekutuan

Aliran tunai menjunam tetapi aset bertambah

Penjelasan Ahmad Maslan

Pada 16 Jun 2010, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan menjelaskan status kewangan Felda adalah sebanyak RM4.08 bilion pada tahun 2004 jatuh kepada RM1.35 bilion pada 2009 kerana ia digunakan untuk tujuan kebajikan—RM2 bilion untuk penanaman semula tanaman, RM603 juta untuk pinjaman rumah tanpa faedah, RM253 juta bagi tabung pembasmian kemiskinan Sabah dan RM662 juta diperuntukkan untuk pembangunan ibupejabat baru Felda. Pada masa yang sama, aset Felda bertambah dengan pulangan daripada RM9.17 bilion pada 2004 kepada RM15.37 bilion kepada 2009, menokok sebanyak RM6.2 bilion.[11]

Desakan NGO, PKR dan Laporan ke SPRM

Ini menyebabkan desakan daripada pemimpin PKR Dr Tan Kee Kwong yang juga timbalan menteri tanah dan pembangunan koperasi sehingga tahun 2004 mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat dakwaan salahurus dalam Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).[12] Desakan ini disuarakan oleh penyelaras PKR, Datuk Zaid Ibrahim menuntut supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melepaskan cengkamannya ke atas Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi membolehkan organisasi itu diuruskan secara telus dan profesional.[13] Pada 28 Jun 2010, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) yang diwakili oleh pengerusinya, Mazlan Aliman membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Julai dan menyerahkan "dokumen lengkap" dakwaan 'salah guna kuasa' dalam Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA).[14] dan mencabar Datuk Ahmad Maslan berdebat berhubung dakwaan kemerosotan rizab Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA).[15]

Zaid, Suara Keadilan disaman

Dalam Suara Keadilan bertarikh 22 - 29 Jun, selain laporan muka depannya, akhbar mingguan itu turut memuatkan beberapa siri laporan khusus tentang hal ehwal kewangan FELDA. Ini menyebabkan Datuk Ahmad Maslan menyaman Suara Keadilan dan Zaid serta menamakan ketua pengarang akhbar itu, wartawan-wartawan terbabit dan empat pemimpin pembangkang iaitu penyelaras Pakatan Zaid Ibrahim, ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Tan Kee Kwong dan Suhaimi Said serta wakil rakyat PAS Mohd Abdul Wahid Endut. Pada 1 Julai 2010, Felda menuntut ganti rugi sebanyak RM200 juta terhadap akhbar Suara Keadilan dan permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari berhubung penyiaran artikel "Felda bankrap" oleh akhbar berkenaan.[16]

Bantahan terhadap Suara Keadilan

Pada 27 Jun 2010, Umno bahagian Kota Raja hari ini diketuai oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam mengadakan majlis membakar akhbar organ PKR Suara Keadilan yang terbaru ekoran laporannya mendakwa Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA) bankrap. Mereka menyokong tindakan FELDA menyaman Suara Keadilan.[17] Pada 30 Jun 2010, kira-kira 200 orang menyerbu pejabat akhbar PKR - Suara Keadilan - di Shah Alam bagi menyatakan perasaan tidak puas hati terhadap laporan terbaru di muka depannya yang berjudul 'Felda Bankrap', kata ketua editor akhbar berkenaan. Kumpulan yang mendakwa sebagai generasi kedua peneroka Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA) berkumpul sedikit demi sedikit sebelum menyerahkan memorandum bantahan mereka dua jam selepas itu. Dalam pada itu beberapa naskhahSuara Keadilan turut dibakar.[18]

Saman terhadap FELDA

Pada 9 Ogos 2010, Seramai 766 peneroka Felda memfailkan saman berjumlah RM200 juta di Mahkamah Tinggi Seremban terhadap agensi kerajaan itu atas dakwaan terlibat dalam penipuan dan pecah amanah dalam jual beli hasil kelapa sawit.Tuntutan itu difailkan oleh peguam Sivarasa Rasiah bagi pihak peneroka daripada Felda Serting dan Gugusan Raja Alias, berdekatan Jempol, Negeri Sembilan. Mereka menamakan Felda dan Felda Palm Sdn Bhd masing-masing sebagai defenden pertama dan kedua.[19] Tuntutan itu ini mendapat reaksi daripada Pengerusi PKR Negeri Sembilan, YB Datuk Kamarul Baharin Abbas yang mengatakan pendapatnya bahawa peneroka Felda patut menuntut jumlah yang lebih tinggi daripada RM200 juta dalam samannya terhadap agensi kerajaan itu memandangkan keringat membangunkan hartanah itu lebih tinggi nilainya.[20]